> IKON > Bermula kisah nyamuk dalam ayat 26 surah al-Baqarah, siapa sangka ini yang Dr. Fatin Aliah Phang temui!
Bermula kisah nyamuk dalam ayat 26 surah al-Baqarah, siapa sangka ini yang Dr. Fatin Aliah Phang temui!
ZALMIMAZURA ZAHARI Khamis | 11 Julai 2019

Hidayah yang dimiliki setiap orang adalah berbeza-beza. Ada yang melalui mimpi, pembacaan, pencarian, membuat perbandingan agama dan sebagainya dan tidak kurang juga ada yang terpaksa melalui cabaran dan tentangan hebat dari keluarga atau sebaliknya dalam menempuh ujian bergelar umat Nabi Muhammad SAW.

Bagi Prof. Madya Dr. Fatin Aliah Phang, 38, biarpun pada awal memeluk Islam beliau tidak berhadapan dengan cabaran yang sukar dari keluarga, namun perjalanan mencari Islam bukannya mudah.

“Saya mula mengenali agama Islam apabila pertama kali menjejakkan kaki dari Kuching Sarawak ke Johor ketika mendaftarkan diri sebagai mahasiswa sarjana muda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada usia 19 tahun.

“Saya tertarik dengan agama Islam kerana dikelilingi oleh kawan-kawan Muslim yang menunjukkan contoh yang baik. Mereka sangat beradab, berdisiplin, tepati janji dan berfikiran matang. Mereka membuatkan saya mencari-cari bagaimana mereka boleh memiliki peribadi terpuji ini pada usia yang sangat muda (dalam umur 20 tahun).

“Saya mendapati bahawa mereka mempunyai didikan agama Islam yang kuat daripada keluarga. Justeru saya mendalami agama Islam, membaca terjemahan al-Quran sehingga saya beriman kepada ayat-ayat al-Quran kerana kebenarannya,” kata anak kedua daripada enam orang adik-beradik ini.

Dr. Fatin ketika menerima Okayama ESD Award 2018 di Okayama Jepun.

Belajar berpuasa di Ramadan dan Rejab

Menyoroti kisah lalu, Dr. Fatin yang juga Felo Pusat Pendidikan Kejuruteraan UTM dan pensyarah di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM berkata, dirinya bernasib baik kerana kawan-kawan Muslim di sekitar kolej kediaman tidak mengasingkan diri mereka daripada yang bukan Muslim. Malah mereka melayan dengan baik dan menjawab setiap persoalan tentang Islam yang diajukan.

“Ketika di tahun pertama, buat pertama kali saya melihat orang solat dan puasa, jadi apabila tiba bulan Ramadan, saya pun cuba berpuasa. Salah satu tarikan utama saya berpuasa adalah kerana Pasar Ramadan yang dibuka di belakang kolej kediaman saya di Kolej Rahman Putra UTM.

“Saya suka suasana meriah. Orang datang membeli juadah sambil menunggu waktu berbuka bersama kawan-kawan dan makan bersama. Saya belajar berpuasa setiap tahun bersama kawan-kawan sehingga pada tahun keempat, dan saya mula terjebak dengan puasa sunat bulan Rejab apabila merasakan cabaran berpuasa di Ramadan mungkin tak seteruk bulan lain kerana semua orang berpuasa,” katanya.

Tidak memahami perumpamaan nyamuk

Akui Dr. Fatin, dia mula membaca terjemahan al-Quran pada bulan Rejab sehingga selesai baca keseluruhan terjemahan biarpun banyak ayat tidak difahami.

“Saya bertanya kepada kawan Muslim tentang ayat 26 surah al-Baqarah kerana tidak memahami maksud perumpamaan nyamuk dalam ayat itu. Walaupun dijelaskan beberapa kali dengan rujukan dan panduan oleh pensyarah pengajian Islam UTM pun saya masih belum faham. Walau begitu saya teruskan membaca dengan kefahaman bahawa orang yang tidak memahami perumpamaan nyamuk itu adalah orang kafir.

Terlibat dalam program tauliah guru Quran oleh Jabatan Agama Islam Johor.
“Saya rasa sangat sedih dan terhina apabila membaca ayat-ayat al-Quran yang menghina orang kafir, orang yang bakal dihumban ke dalam neraka jahanam, yang menerima hukuman paling teruk dan sebagainya, kerana saya membayangkan diri saya adalah orang kafir yang tidak memahami perumpamaan nyamuk itu.

“Tanpa disedari, cara saya berfikir itu telah menandakan keimanan saya kepada ayat ALLAH. Maka pada 30 Syaaban bersamaan 6 November 2002, ketika di tahun ke empat pengajian, saya mengucapkan kalimah syahadah di UTM,” katanya.

Rahsiakan pengislaman

Jelas Dr.Fatin dirinya beruntung kerana tidak menerima cabaran dan tentangan hebat daripada keluarga sebagaimana dilalui mualaf yang lain.

“Walaupun mereka tidak setuju dengan pilihan agama saya, namun mereka tidak pernah memaksa saya untuk tinggalkan agama ini. Saya sentiasa mendapat bantuan, sokongan dan didikan daripada kawan-kawan dan pensyarah Muslim di UTM.

“Pendidikan tidak formal ini memerlukan komitmen daripada kedua-dua pihak. Saya perlu berusaha mencari mereka dan mereka perlu berusaha meluangkan masa. Semasa 6 bulan pertama, saya terpaksa solat di beberapa bilik asrama kawan di kolej bagi setiap waktu solat yang berbeza kerana rakan sebilik saya bukan Muslim dan saya belum memberitahunya tentang pengislaman saya,” katanya bersyukur kerana ALLAH permudahkan segala urusan solat dengan bantuan kawan-kawan.

Bersama rakan-rakan pelbagai kaum semasa program sembang harmoni yang diadakan di bulan Ramadan di Masjid UTM.

Cabaran di luar negara

Tambah Dr. Fatin lagi dari segi menguasai bacaan al-Quran, biarpun berhadapan dengan cabaran, namun hasil semangat yang tidak pernah putus asa, beliau berjaya khatam al-Quran dalam masa dua tahun sebelum berangkat ke University of Cambridge, UK untuk pengajian PhD pada tahun 2005.

“Cabaran sebagai seorang Muslim di UK pula sangat lain di Malaysia. Tetapi sokongan dari kawan-kawan Muslim di UK banyak membantu dan saya masih dapat peluang untuk pengajian Islam secara tidak formal dengan ustaz di situ,” katanya.

Ujar Dr. Fatin lagi, kepelbagaian mazhab fiqah yang diamalkan oleh Muslim di UK juga menjadi satu cabaran buat dirinya, namun cabaran itu menjadikannya lebih memahami mazhab as-Syafie.

“Kurangnya Muslim di UK juga membuka ruang untuk saya terlibat secara langsung dengan kegiatan dakwah kepada bukan Muslim. Di UK juga, saya dapat peluang belajar dakwah daripada pelbagai tokoh pendakwah di dunia Barat dan menjawab soalan-soalan lazim atau salah faham orang bukan Muslim terhadap Islam,” katanya.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...