> > Bermula hobi ukir sabun, tak sangka kini miliki produk kecantikan sendiri
Bermula hobi ukir sabun, tak sangka kini miliki produk kecantikan sendiri
NUR SHARIEZA ISMAIL Isnin | 22 Julai 2019

BERMULA sebagai hobi dengan mengukir sabun buatan tangan, tanpa disangka ia telah membuka peluang kepada siswazah lepasan dari Universiti Lim Kok Wing ini untuk menceburi bidang perniagaan, sekali gus menjadi seorang usahawan sebuah jenama produk kecantikan.

Berbekalkan kepakaran dimilikinya selain minat mencipta kepelbagaian jenis sabun, mandian, losen serta produk yang berkait rapat dengan kecantikan dan penjagaan diri, akhirnya graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Industri itu memberanikan diri untuk melahirkan jenama sendiri.

Oleh itu, maka lahirlah Herlysa Vegan, sebuah jenama produk kecantikan halal buatan Malaysia di bawah keluaran syarikat VNI Scientific Sdn Bhd pada 2017 yang diilhamkan usahawan berusia 26 tahun bernama Nur Ainaa Herlysa Zainal Abidin.

VNI Scientific Sdn Bhd kini semakin maju dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sehingga tercipta formulasi unggul produk kecantikan berasaskan buah tin.

Menariknya, semua produk keluaran Herlysa Vegan ini dihasilkan dari bahan-bahan organik seperti vitamin E, aloe vera, witch hazel dan buah tin (ficus carica).

Semua produk keluaran jenama berkenaan bebas daripada bahan kimia terlarang seperti sulfates, paraben dan propylene glycol yang boleh merosakkan kulit, sekali gus menjadikannya sebagai produk kecantikan pertama di Malaysia dan Asia menggunakan ekstrak buah tin.

Nur Ainaa Herlysa berkata, VNI Scientific Sdn Bhd pada asalnya adalah syarikat usahawan MARA Negeri Sembilan. Bagaimanapun, katanya, pada 2014 ia telah dinaikkan taraf sebagai syarikat dan seterusnya dinaikkan taraf lagi sebagai syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) pada 2017.

Sebagaimana juga syarikat kecantikan lain, VNI Scientific Sdn Bhd tidak terkecuali memiliki kilang pengeluarannya sendiri.

“VNI Scientific Sdn Bhd merupakan syarikat pengeluaran yang bertanggungjawab mengeluarkan produk-produk jenama Herlysa Vegan," katanya.
Produk Herlysa yang dihasilkannya.

Usia muda bukan halangan

Pada usia yang muda Nur Ainaa Herlysa boleh berbangga kerana mampu mengeluarkan tiga jenis produk di bawah jenama Herlysa Vegan pada 2016 terdiri daripada Double Serum, Hydradubf Face Mist dan Tinted Moiturizer.

Difahamkan, ketiga-tiga produk berkenaan berjaya meraih antara RM50,000 hingga RM60,000 pada tahun pertama jualannya.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka mempunyai ruang dan peluang untuk menceburi bidang perniagaan dalam segmen produk kecantikan.

“Saya mulai serius menceburi bidang perniagaan ini selepas melihat tiada tempat untuk meletakkan produk kecantikan dan penjagaan diri yang saya hasilkan. Saya memang minat mencipta sabun losen mandian dan sebagainya tapi lama-kelamaan saya tak ada ruang untuk menempatkannya,” katanya.

Bertitik tolak dari situ, Nur Ainaa Herlysa berkata, dia terdorong untuk meletakkan produk-produk yang dihasilkannya di sebuah vendor.

“Pada tahun 2016, saya mula menyewa sebuah premis bagi meletakkan barangan saya. Dari situ barulah saya bertindak untuk melangkah lebih serius dalam bidang perniagaan,” katanya.

Menurutnya, ketika memulakan perniagaan dia langsung tidak memikirkan soal usianya.

“Saya fikir ia bukanlah satu halangan untuk saya pergi jauh dalam bidang perniagaan kerana saya meminati bidang kecantikan. Jadi, saya harus mencipta sesuatu kelainan bagi menaikkan jenama produk kecantikan saya sendiri,” katanya.
Nur Ainaa Herlysa menunjukkan produk keluaran Herlysa Vegan iaitu Double Serum dan Tinted Moiturizer.

Bagaimanapun, katanya lagi, sokongan ibu bapa adalah sebab utama beliau mampu bertapak dan meraih kejayaan dalam bidang yang diceburinya itu.

“Merekalah yang menjadi kekuatan dan perangsang untuk saya mengorak langkah jauh ke depan. Tanpa sokongan mereka, tidak mungkin saya mampu berdiri di sini,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa jugalah tempat beliau mengadu segala permasalahan yang dilalui sebelum bergelar usahawan berjaya.

Kebaikan, khasiat buah tin

Seperti diberitahu, buah tin adalah formulasi unggul produk Herlysa Vegan yang dipilih berdasarkan hasil kajian menyeluruh dibuat terhadap kebaikan dan khasiatnya.

Selain itu, Nur Ainaa Herlysa berkata, ia juga dipilih bagi menawarkan kelainan dalam pasaran produk kecantikan tanah air.

“Saya dapati belum ada lagi produk kecantikan yang diformulasikan berasaskan buah tin. Jadi, saya mengambil satu cabaran untuk mengeluarkan satu produk kecantikan berasaskan buah ini,” katanya.

Tambahnya, dia juga memilih buah tin sebagai formulasi produknya kerana ia mempunyai banyak kebaikan terhadap kecantikan dan kesihatan.

“Salah satunya ialah mampu mempercepatkan proses pencerahan tona kulit dengan selamat serta menjadi anti radikal bebas bagi melambatkan proses penuaan. Malah ia juga dapat mengatasi tekanan darah tinggi, mengurangkan kadar kolesterol, mencegah serangan jantung, baik untuk penghidap diabetes dan mampu mengatasi masalah sukar tidur,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, khasiat buah tin juga dapat membersihkan liang pori yang tersumbat dan mengatasi masalah jerawat.

Macam juga produk lain, Herlysa Vegan juga menawarkan kepakaran tersendiri dalam menyerlahkan kecantikan wajah penggunanya.

Jelasnya, produk dihasilkan itu dipercayai mampu membantu mereka yang mengalami masalah kulit berjerawat, jeragat, pori-pori terbuka, kusam dan tidak sekata.

“Pengguna boleh memilih produk Herlysa Vegan tanpa waswas untuk kelihatan cantik semula jadi dan tampil berkeyakinan lebih tinggi serta menawan,” katanya.

*Artikel dipetik daripada ruangan Start Up (Bisnes Sinar) terbitan Sinar Harian Isnin 22 Julai 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...