> Penyelidik UPM hasilkan teknologi LAMP bantu lakukan diagnosis leptospirosis lebih cepat dan sensitif
Penyelidik UPM hasilkan teknologi LAMP bantu lakukan diagnosis leptospirosis lebih cepat dan sensitif
NOOR AZURA SAHRIL Isnin | 19 Ogos 2019

LEPTOSPIROSIS merupakan penyakit zoonotic di seluruh dunia dan ia telah dikenali sebagai penyakit yang menular sejak beberapa dekad lalu.

Leptospirosis tidak menunjukkan simptom yang spesifik, malah ia mungkin menyerupai penyakit lain seperti denggi dan keadaan sebegini menyukarkan diagnosis yang tepat.

Satu kajian di Malaysia menunjukkan bahawa 38 peratus kes leptospirosis telah salah didiagnosis sebagai denggi.

Diagnosis awal leptospirosis amat penting untuk rejimen rawatan yang lebih efektif, tetapi diagnostik semasa tidak berguna untuk tujuan tersebut, malah ia memerlukan kos yang tinggi dan tidak mudah didapati di negara-negara yang mempunyai sumber terhad.

Oleh itu, sehingga kini tiada diagnostik yang benar-benar memuaskan dan merupakan halangan utama untuk diagnosis dilaksanakan terhadap penyakit itu.

Justeru, penciptaan ujian point-ofcare yang cepat dan sensitif pada kos yang efektif amat penting untuk mendiagnosis penyakit itu secara tepat sebelum ia semakin memburukkan.

Teknologi LAMP

Menurut Prof Madya Dr Chee Hui Yee dari Jabatan Mikrobiologi & Parasitologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), diagnosis awal leptospirosis amat penting untuk rejimen rawatan yang lebih efektif dalam mengawal serta mencegahnya daripada tersebar luas.

Ciptaan awal yang boleh mengesan leptospirosis melalui pengesan DNA.

Bagaimanapun, diagnostik sedia ada tidak boleh digunakan untuk mencapai tujuan itu. Oleh itu, penciptaan diagnostik yang lebih tepat dan cepat amat diperlukan.

Dr Hui Yee berkata, teknologi loopmediated isothermal amplification (LAMP) merupakan inovasi yang berpotensi untuk merealisasikan matlamat itu.

“Teknologi kami memberi tumpuan kepada penggunaan LAMP bagi mengesan leptospira dengan menyasarkan dua gen penting dalam leptospira. Salah satu gen tersebut boleh didapati dalam semua leptospira, manakala gen yang lainnya hanya boleh dikesan dalam strain patogen leptospira. Teknologi ini boleh diaplikasikan di pelbagai industri selepas berjaya diuji ke atas pelbagai jenis sampel daripada manusia, haiwan dan alam sekitar,” katanya.

Jelasnya, pada kebiasaannya reaksi LAMP akan dianalisis dengan beberapa kaedah seperti penunjuk warna calcein dan hydroxynapthol blue.

“Kami juga telah menguji tiga lagi kaedah pengesanan baru untuk LAMP seperti tapered optical fiber biosensor, nanoparticle, dan lateral flow biosensor untuk pengesanan yang lebih tepat.

“Hasil akhir daripada kajian ini, ialah satu ujian point-of-care yang membolehkan ujian lebih cepat dan sensitif. Secara tidak langsung menambahbaikkan diagnosis penyakit ini serta pengurusannya. Teknologi ini juga boleh digunakan untuk pengawasan dan pemantauan patogen tersebut,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Dua lagi penyelidik yang turut terbabit dalam inovasi itu dan dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah Lam Jia Yong dan Shuhaidah Othman.

Manfaat inovasi

Hui Yee berkata, leptospirosis sering salah didiagnosis sebagai denggi kerana kedua-dua penyakit itu mempunyai manifestasi klinikal awal yang mirip.

Di samping itu, kedua-dua penyakit itu juga merupakan penyakit berjangkit yang paling utama di Malaysia.

Jelasnya keadaan sebegini menyebabkan kesukaran dalam pengurusan perubatan serta rawatan kepada pesakit.

“Inilah sebabnya mengapa terdapat keperluan untuk diagnostik yang lebih mudah, kos rendah dan tepat untuk penyakit ini. Hasil akhir kajian ini amat berpotensi untuk membantu diagnosis leptospirosis yang tepat melalui penambahbaikan kepada ujian LAMP,” katanya.
Dr Hui Yee menunjukkan ciptaannya yang boleh diagnostik bagi mengesan leptospirosis.

Tambahnya, teknologi itu bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia tetapi juga negara-negara yang mempunyai sumber terhad, terutamanya di mana leptospirosis merupakan endemik.

“Dengan teknologi ini, ia akan membantu dalam pengurusan pesakit menjadi lebih baik, mencegah penggunaan perubatan yang tidak diperlukan dan mengurangkan kos perubatan. Secara tidak langsung ia juga akan mengurangkan kerugian ekonomi dan kos keseluruhan yang disebabkan oleh penyakit ini,” katanya.

Oleh kerana leptospirosis merupakan penyakit yang berkaitan dengan persekitaran, teknologi LAMP juga boleh digunakan untuk pengawasan alam sekitar bagi mengawal patogen tersebut kerana teknologi itu telah pun berjaya diuji pada sampel alam sekitar.

“Ini akan membantu pemantauan, peramalan serta pengawalan wabak penyakit tersebut daripada alam sekitar,” katanya lagi.

Jelasnya, LAMP juga boleh diaplikasikan dalam industri seperti syarikat diagnostik molekular, hospital, klinik, agensi pengawalan penyakit, pengilang vaksin, diagnostik bioperubatan serta kesihatan persekitaran.

“Teknologi ini mempunyai potensi pasaran yang global melibatkan negara-negara yang mana leptospirosis dan denggi merupakan endemik seperti negara di Asia Tenggara dan negara tropika. Teknologi ini boleh digunakan oleh pelbagai industri seperti hospital, makmal diagnostik serta agensi-agensi kesihatan persekitaran,” katanya.

*Artikel dipetik daripada ruangan Inovasi (sisipan Bisnes Sinar) terbitan Sinar Harian Isnin 19 Ogos 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...